Nuffnang

Warkah Terbuka untuk Mahasiswa Malaysia

>> Tuesday, July 05, 2011

Warkah Terbuka untuk Mahasiswa Malaysia
oleh: Kamarudin Hussin

Gegak gempita keadaan apabila sekitar 250 orang anak-anak muda di hadapanku berdiri dan bersorak beramai-ramai. Mereka sedang menyaksikan klip multimedia yang mengandungi maksud dan pengharapan yang tinggi menggunung. Dengan berlatarbelakangkan dendangan lagu Faizal Tahir, dapat aku rasakan harapanku bernyala dan nadiku berganda: “Gemuruh jiwa! Semangat membara! Dari puncak ingin ke angkasa! Berkalungkan bintang berkelipan, menyerlah jauh dari yang biasa!”

Begitulah suasana pada suatu petang di sebuah dewan di Kubang Gajah, Perlis. Program ‘Kampung 1 Malaysia’ yang berlangsung selama empat hari tiga malam di lima buah perkampungan di Perlis dan Kedah, dengan disertai pelajar dari sembilan buah universiti baru berakhir dan aku diminta merasmikan upacara penutupnya. Sambil memandang wajah-wajah riang anak-anak muda di hadapanku, begitu jelas mereka merasa amat gembira berinteraksi dengan orang-orang kampung – tidak kira yang berbangsa Cina, India, mahupun Melayu. Pelajar-pelajar ini telah menghabiskan masa beberapa hari bersama orang-orang yang sebelum ini tidak mereka kenali, dan apa yang mereka alami amat menyeronokkan. Tetapi, tahukah mereka apa yang telah nenek moyang mereka lalui sebelum ini? Dapatkah mereka bayangkan betapa sukarnya mencapai suasana yang aman tenteram yang dirasai hari ini, yang membolehkan mereka menikmati hidup seronok begini?

Tahun-tahun pengorbanan menuju kemerdekaan sudah lama berlalu. Anak-anak muda hari ini tidak pernah mengenali kepayahan yang diharungi warga tanah bertuah ini, kecuali melalui pembacaan buku teks sejarah. Itupun kemungkinan besar pembacaan dilakukan hanya untuk memastikan mereka dapat menjawab soalan peperiksaan. Lain halnya dengan diriku. Aku dilahirkan beberapa tahun sebelum merdeka. Walau masih terlalu muda semasa perjuangan kemerdekaan rancak diperjuangkan, namun, aku pantas mempelajari peri pentingnya semangat patriotik dan perpaduan, terutama sekali sejurus selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Pada 13 Mei, aku lihat dengan mata kepalaku sendiri bagaimana parahnya hidup sekiranya rakyat bermusuhan atas dasar warna kulit. Caci-mencaci, ludah-meludah, pukul-memukul, tetak-menetak, tikam-menikam, tembak-menembak dan bunuh-membunuh berlaku di sekelilingku. Bukan sedikit anggota keluarga dan kenalan rapatku terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kejadian itu. Sungguh dahsyat dan mengerikan sekali – ramai saudara-maraku mengenali sekurang-kurangnya seorang kawan atau jiran yang dicederakan senjata besi, tombak dan lembing berparang. Angka rasmi menunjukkan seramai 196 orang mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9143 ditahan. Namun, ramai tidak percaya angka-angka ini kerana terdapat saksi-saksi yang mengatakan jumlah kematian sebenarnya jauh lebih tinggi. Kesan 13 Mei bukan sekadar statistik kematian dan kecederaan semata-mata. Penderitaan bagi sesetengah orang – khususnya yang telah hilang orang tersayang – dirasai sehingga hari ini.

Persoalannya sekarang - hendakkah kita lihat 13 Mei berlaku lagi? Tidak cukupkah bukti bahawa sekiranya api kemarahan sengaja dinyalakan maka akan bersemaraklah kebencian yang meluap-luap antara kita sehingga menyebabkan pertumpahan darah? Setelah lebih separuh abad kita bertungkus-lumus membina sebuah negara dan bangsa yang merdeka, wajarkah kita biarkan keamanan yang kita nikmati ini diroboh dengan sewenang-wenangnya? Mahukah kita lihat masa hadapan anak cucu kita digugat dan dikorbankan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab?

Kumpulan pengacau yang hendak mengadakan perhimpunan haram, misalnya yang dirancang pada 9 Julai ini,  jelas tidak memikirkan kesannya yang buruk kepada kedudukan politik, sosial dan ekonomi negara kita. Mengapa mahu berkiblatkan apa yang berlaku di luar negara? Sekiranya pemberontakan dan kekacauan yang berlaku di Timur Tengah hendak dijadikan ikutan, adakah sudah selesai apa yang diperjuangkan di sana? Adakah negara-negara itu kini lebih aman, lebih tenteram, dan lebih kaya? Bukankah terang lagi bersuluh bahawa disebabkan segelintir rakyat yang tidak berpuas hati atau yang mempunyai agenda tersendiri (yang tidak semestinya memihak kepada kebajikan rakyat jelata keseluruhannya), ramai penduduk yang tidak berdosa terkorban?

Usahlah diungkit lagi isu keistimewaan orang Melayu. Bumi Malaysia yang kurang dari 100 tahun yang lalu dihuni bangsa Melayu semata-mata kini sudah berubah lanskapnya dengan adanya orang Cina dan India yang tinggal di samping orang Melayu. Walau apapun syarat yang dikenakan dahulu, hakikatnya ialah - hak kerakyatan diberikan jua kepada warga bukan-Melayu. Pintu kerakyatan telah dibuka seluas-luasnya, lalu disambut dan dimanfaatkan dengan sehabis-habisnya oleh warga pendatang setengah abad yang lalu. Lihatlah kesannya hari ini - betapa kekayaan negara dikongsi bersama tanpa mengira kaum. Malah sekiranya dicari sepuluh orang terkaya di Malaysia – hanya seorang sahaja berbangsa Melayu iaitu Syed Mokhtar al-Bukhary, dan itupun dia berada pada tangga ke-8 sesudah jutawan-jutawan bukan Melayu iaitu Robert Kuok, Ananda Krishnan, Lee Shin Cheng, Lee Kim Hua, Quek Leng Chan, Teh Heng Piow, dan Yeoh Tiong Lay.

Fakta kekayaan 10 orang terkaya ini bukanlah menunjukkan bahawa semua orang Cina dan orang India itu kaya, dan orang Melayu itu miskin. Bukan sama sekali. Namun tidak dapat dinafikan terdapat sekitar 40% masyarakat Malaysia hari ini yang miskin, dan majoritinya kaum Melayu dan Bumiputera. Ini bermakna hasrat kerajaan yang ingin mencapai sasaran ekuiti 30 peratus di tangan orang dan Bumiputera masih belum tercapai walau Dasar Ekonomi Baru dilancarkan lebih 40 tahun yang lalu.  

Jadi mengapakah balik-balik isu keistimewaan orang Melayu dibangkitkan? Bukankah sudah jelas bahawa semua lapisan masyarakat – tanpa mengira bangsa – boleh menempah kejayaan hanya dengan bekerja bersungguh-sungguh? Laluan menuju kejayaan sudah ditempa dan dinikmati bersama. Mengapa mahu mengambil risiko memainkan sentimen perkauman dan seterusnya merosakkan keharmonian yang dibina sekian lama?

Paling menyedihkan ialah pemikiran setengah orang Melayu dalam perkara ini. Seperti tidak cukup terdapatnya segelintir orang India dan Cina yang hendak mengerohkan keadaan dengan menimbulkan isu-isu sensitif, bagai tidak percaya rupa-rupanya ada juga orang Melayu sendiri yang suka melihat bangsanya jahanam. Mereka gunakan perkataan ‘bersih’ sebagai lawan kepada ‘kotor’ untuk menimbulkan provokasi. Mereka berkata perhimpunan yang dirancang hanyalah “sekadar berjalan kaki beramai-ramai yang pastinya tidak menimbulkan kekacauan serta keganasan”. Lupakah mereka kepada tragedi 13 Mei yang tercetus akibat perarakan kemenangan parti pembangkang? Perarakan tersebut pada mulanya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman, namun disebabkan terdapatnya isu-isu sensitif yang masih belum dileraikan pada waktu itu, maka terjadilah pertumpahan darah yang dasyat lagi menggerunkan.

Konsep Gagasan 1Malaysia yang dilancarkan pada 2009 adalah amat murni sekali. Program Kampung 1 Malaysia yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Perlis nampaknya membuahkan hasil yang memberangsangkan – sebagaimana yang aku lihat terpancar pada wajah-wajah riang di hadapanku. Namun aku khuatir. Khuatir sekiranya anak-anak muda yang masa depannya sungguh cerah ini akan tergelincir akibat godaan licik pihak-pihak berkepentingan.

Mantan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Muhamad pernah berkata, "Saya fikir kalau kita lupa sejarah, kita akan ulangi sejarah itu. Ada pepatah menyebut mereka yang lupa pengajaran sejarah akan dihukum,". Aku harap pelajar-pelajar universiti menghayati pesan Tun Dr Mahathir, ingat akan apa yang dipelajari dalam matapelajaran Sejarah, dan benar-benar faham dan sedar bahawa masa hadapan mereka kini sedang cuba digadai dan diporak-perandakan oleh orang-orang yang berakal cetek, berwawasan singkat dan rata-rata tidak bertanggungjawab. 

Wahai anak-anak didikku, janganlah turut serta dalam apa jua rancangan yang berhasrat menjatuhkan keamanan yang kita kecapi selama ini. Tunjukkanlah kematangan, kebijaksanaan, kehebatan dan keintelektualanmu. Gunakanlah akal fikiran. Tolaklah kekacauan. Binalah bangsa dan bangunkan negara. Sambutlah salam 1 Malaysia!

Sekian.
Ihsan google.com

0 komen membina:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP